Star City FC Berpangkalan Di Alor Setar Warnai Liga Super 2026-27
Hafiz Omar

Imigresen Football Club (FC) mengumumkan menjenamakan semula kelabnya kepada Star City Football Club (Star City FC) berkuatkuasa hari ini bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2026-27.
Menurut satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai akaun media sosialnya, pihak kelab mencapai persetujuan secara sebulat suara untuk menjenamakan kelab itu kepada Star City FC.
Selain daripada nama baharu, kelab itu turut memperkenalkan logo baharu yang merangkumi burung helang mencengkam bola pada sebuah perisai berbentuk bulat yang dihiasi dengan warna kuning.
Jelas pihak kelab, penjenamaan itu menandakan permulaan era baharu dalam usaha membina sebuah kelab bola sepak yang lebih profesional, progresif dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi jangka panjang untuk menjadi antara kelab terkemuka di Malaysia.
View this post on Instagram
“Nama STAR CITY FC dipilih berinspirasikan Alor Setar, ibu negeri Kedah Darul Aman. Perkataan ‘STAR’ melambangkan Alor Setar sebagai nadi sejarah, pentadbiran dan pembangunan negeri, manakala ‘CITY’ menggambarkan sebuah kelab moden yang bersedia melangkah lebih jauh dengan aspirasi yang lebih besar.” tulis kenyataan itu.
Sesuai dengan inspirasi namanya, kelab itu dimaklumkan berpangkalan di Alor Setar.
Selain itu, kelab turut memperkenalkan moto rasmi iaitu “The Pride of The North” manakala komuniti penyokong rasminya akan dikenali sebagai “The Northern Stars” – simbol semangat, perpaduan dan kekuatan penyokong dalam mengangkat nama kelab.
Ini merupakan perkembangan terbaru kelab yang menamatkan kempen Liga Super musim lalu di tangga keenam selepas mengumumkan Mehmed Durakovic sebagai ketua jurulatihnya yang baharu.