Sepang Kekal Dalam Kalendar MotoGP Sehingga 2031
Hafiz Omar
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Perlumbaan Motosikal Grand Prix (MotoGP) sehingga tahun 2031 setelah Kerajaan Malaysia memperbaharui kontrak penganjuran Malaysian GP selama lima tahun lagi.
Pengumuman pembaharuan kontrak itu dibuat pada hari ini setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri yang mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai antara hab utama sukan permotoran dunia.
Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq berkata pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa sebaliknya merupakan keputusan strategik Kerajaan yang dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan utama.
Pertamanya, Malaysian GP merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
View this post on Instagram
Keduanya, Malaysian GP juga memperkukuhkan pembangunan bakat dan ekosistem sukan permotoran negara melibatkan pelumba, tenaga teknikal, pengurusan sukan dan teknologi.
Sebagai contoh, menerusi Malaysian Motorsport Development (MDEV), laluan pembangunan bakat yang lebih tersusun telah membuahkan hasil dengan kemunculan pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan yang kian menyerlah di pentas antarabangsa.
Selain itu, Malaysian GP turut menjana manfaat ekonomi kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, pembangunan industri sokongan serta penglibatan syarikat tempatan sepanjang tahun.
Untuk makluman, Malaysian GP mula dianjurkan pada tahun 1991 sebelum berpindah ke SIC pada tahun 1999 dan saban tahun menjadi perlumbaan yang amat dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran tanah air.
“Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal komited untuk memperkukuh ekosistem sukan permotoran negara dan berharap pembaharuan kontrak ini akan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama sukan permotoran dunia disamping membuka lebih banyak peluang ekonomi, memperkasa pembangunan bakat serta melahirkan lebih ramai jaguh sukan permotoran negara.” ujar Dr. Taufiq.
FEATURED IMAGE: MotoGP