Piala Dunia: Penalti Minit 120+5 Hantar Belgium Ke Pusingan 16

July 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Belgium bimbingan Rudi Garcia melakar kemaraan dramatik ke pusingan 16 di Piala Dunia FIFA 2026 selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit 120+5 oleh Youri Tielemans.

Terdahulu, Said Martinez dari Honduras menghadiahkan sepakan penalti kepada Belgium selepas menyemak skrin Video Bantuan Pengadil (VAR) yang memperlihatkan Lamine Camara melakukan terjahan kasar ke atas Tielemans di dalam kotak penalti pada minit 117.

Tielemans yang mengambil sepakan tersebut menendang ke arah bucu kanan gawang mengalahkan penjaga gol, Mory Diaw dengan mudah berikutan merebahkan badan ke arah yang bertentangan.

Gol itu menjadikan Belgium mendahului 3-2 ke atas Senegal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan di Stadium Seattle yang dihadiri 66,925 penonton.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FIFA World Cup (@fifaworldcup)

Sebelum jaringan penalti dramatik itu menjelma, Senegal terlebih dahulu menguasai permainan dan mendahului 2-0 sekitar 80 minit tempoh permainan.

Pemain tengah Sunderland, Habib Diarra dan penyerang Crystala Palace, Ismail Sarr mencetak nama selaku penjaring buat Senegal pada minit 24 dan 51 masing-masing.

Bagaimanapun, Belgium berhasil mengejar dengan menjaringkan gol pertamanya menerusi Romelu Lukaku pada minit 86 sebelum Tielemans menyamakan kedudukan selang tiga minit kemudian untuk melanjutkan pertarungan ke masa tambahan.

Untuk makluman, skuad Belgian Red Devils yang meneruskan kempen ke pusingan 16 akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Amerika Syarikat kendalian Mauricio Pochettino untuk merebut slot suku akhir.

FEATURED IMAGE: Belgian Red Devils

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd