TFC Perkenalkan Jenama Pakaian Sukan Milik Sendiri – Trivet

July 2, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab yang berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC (TFC) tampil memperkenalkan jenama pakaian sukan yang dibangunkan sendiri dan dimiliki sepenuhnya Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) iaitu Trivet.

Menerusi pembangunan jenama itu, TFC berhasrat untuk menawarkan produk sukan yang memenuhi standard prestasi tinggi disamping memberi nilai terbaik kepada pelanggan bukan sahaja melalui sukan bola sepak bahkan kesemua sukan serta menjadikan jenama ini sebagai produk pemakaian harian untuk orang ramai.

“Penubuhan jenama Trivet merupakan satu langkah strategik kelab dalam memperkukuhkan identiti jenama sendiri disamping membuka lembaran baharu dalam cabang perniagaan barangan sukan serta pembangunan aspek komersial dan kelestarian kewangan kelab,” tulis TFC.

Jelas TFC, pemilihan kata nama khas “Trivet” membawa maksud asas yang kukuh, melambangkan unsur pada jenama ini sendiri sejajar dengan aspirasi TFC untuk membina sebuah kelab yang mampan, berdikari dan berdaya saing dalam jangka masa panjang.

Dijangka Trivet bakal menjadi jenama yang akan dipakai skuad Hitam Putih bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2027 setelah kontrak penajaan ALX selaku penyedia kit TFC berakhir pada musim 2025-26.

Pengumuman ini hadir selepas TFC berkongsikan hasratnya melakukan penstrukturan semula secara menyeluruh melibatkan bahagian operasi, pengukuhan identiti permainan serta pembangunan pemain-pemain sedia ada dan bakat-bakat muda yang berpotensi.

Pada Selasa lalu, TFC turut mengumumkan mengikat semula khidmat Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih – sebahagian daripada perancangannya untuk membina semula pasukan yang kompetitif, beridentiti jelas dan mampu bersaing secara konsisten.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd