Liga M Awards Nilai Pemain Hingga Perlawanan Akhir Piala Malaysia
Hafiz Omar

Penganjur pertandingan bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) tampil mengumumkan penjenamaan semula Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) kepada Liga M Awards menerusi satu kenyataan media, pada hari ini.
Penjenamaan semula acara berprestij yang memberikan pengiktirafan dalam arena bola sepak tempatan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-2 bagi Penggal 2025-2029.
Bukan sahaja berwajah baharu dan segar, MFL turut membuat perubahan terhadap format dengan membuat penilaian menyeluruh berdasarkan prestasi pemain sepanjang satu musim penuh – bermula dari perlawanan pertama Liga Super sehingga aksi penutup tirai iaitu perlawanan akhir Piala Malaysia.
Sebagai perbandingan, penilaian ABK sebelum ini dibuat sehingga perlawanan Liga Super ke-24 sahaja dengan purata pemain yang dinilai telah beraksi sekurang-kurangnya 28 perlawanan melibatkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.
“Bagaimanapun, kaedah tersebut menyebabkan beberapa perlawanan penting pada penghujung musim tidak diambil kira termasuk baki perlawanan Liga Super yang berpotensi menentukan kedudukan akhir pasukan.”
“Melalui format baharu Liga M Awards, kesemua perlawanan rasmi dalam kalendar Liga Malaysia musim 2025-2026 akan diambil kira termasuk baki saingan Liga Super, perlawanan piala domestik serta Perlawanan Akhir Piala Malaysia yang menjadi kemuncak musim.”
“Langkah ini dijangka memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi sebenar pemain dan jurulatih kerana penilaian dibuat berdasarkan keseluruhan musim.”
“Ia juga memberi peluang kepada aksi-aksi penting pada penghujung saingan termasuk jaringan gol, bantuan gol dan aksi menyelamat yang luar biasa dalam perlawanan berprofil tinggi untuk turut diambil kira dalam proses pemilihan.”
“Selain itu, statistik pemain akan menjadi lebih komprehensif untuk dinilai memandangkan jumlah maksimum perlawanan yang boleh diharungi seseorang pemain sepanjang musim adalah sehingga 38 perlawanan melibatkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.” tulis kenyataan MFL.
Antara lain, MFL turut menjadualkan acara Liga M Awards 2025-26 berlangsung pada Ogos 2026 berbanding amalan sebelum ini yang melangsungkannya sejurus sahaja tamat Liga Malaysia – membolehkan Jawatankuasa Pemilih Liga M Awards membuat penilaian secara menyeluruh prestasi pemain-pemain.
Tambah MFL lagi, edisi pertama Liga M Awards akan mempertandingkan 15 kategori anugerah dan senarainya adalah seperti berikut:
- Penjaga Gol Terbaik
- Pertahanan Terbaik
- Pemain Tengah Terbaik
- Penyerang Terbaik
- Jurulatih Terbaik
- Pemain Import Terbaik
- Pemain Muda Terbaik
- Pemain Paling Bernilai (MVP)
- Fair Play Award
- Pasukan Terbaik
- Gol Terbaik
- FAN XI
- Kasut Emas Liga Super (Tempatan)
- Kasut Emas Liga Super
- Penyokong Terbaik
Pemenang bagi tujuh kategori anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Muda Terbaik akan ditentukan menerusi undian oleh 13 ketua jurulatih dan 13 ketua pasukan Liga Malaysia 2025-26 serta 13 wakil media.
Sementara itu, Anugerah FAN XI dan Gol Terbaik akan melibatkan undian daripada penyokong menerusi laman sesawang MFL yang akan dibuka kelak.
Untuk pengetahuan semua, ABK mula diperkenalkan pada musim 2005-06.