TUAH Maskot Sukan SEA Malaysia 2027
Hafiz Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027 tampil memperkenalkan maskot, logo dan tema rasmi Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14.
Acara pengenalan yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohamed Taufiq Johari tersebut berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya menyaksikan TUAH diangkat sebagai maskot rasmi temasya dwitahunan terbabit.
Pihak penganjur menjelaskan TUAH merupakan imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mudah didekati selain menggambarkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran, positif, berdaya saing dan sentiasa menghargai kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
Nama TUAH pula dipilih kerana membawa makna kejayaan, kecemerlangan dan keberuntungan yang dicapai melalui usaha, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan.


Logo rasmi Sukan SEA Ke-32 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 pula menampilkan gabungan beberapa elemen utama iaitu huruf M, bentuk atlet, angka 27 dan bunga raya.
“Logo yang direka melambangkan dinamisme, kepelbagaian budaya, dan keharmonian rakyat di Asia Tenggara, yang diadun dengan identiti Malaysia yang progresif manakala maskot bukan sekadar identiti visual, malah melambangkan keberanian, semangat kesukanan yang dinamik, inovasi serta aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif dan berteraskan teknologi,” ulas Dr. Mohamed Taufiq.
Sementara itu, Raikan Perpaduan atau “Celebrating Unity” pula diangkat sebagai tema temasya sebagai tunjang kepada keseluruhan identiti Malaysia.
Sukan SEA Malaysia 2027 dijadualkan berlangsung dari 18hb hingga 29hb September 2027 sementara Sukan Para ASEAN pula dijalankan pada 17hb hingga 23hb Oktober 2027.