Cheng Hoe Panggil Haqimi Ganti Richard Chin
Hafiz Omar

Ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bertindak memanggil penyerang Penang FC, Haqimi Azim Rosli untuk melapor diri ke kem latihan pusat yang bermula hari ini.
Pemain berusia 23 tahun terbabit dipanggil bagi menggantikan pemain Ross County FC yang beraksi dalam kancah bola sepak Scotland, Richard Chin yang tidak dapat bersama Harimau Malaya.
Menerusi kenyataan oleh akaun Malaysia NT sebentar tadi, Richard yang turut berusia 23 tahun tidak dapat menyertai kem latihan pusat atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
View this post on Instagram
Kem latihan pusat ini merupakan persediaan Harimau Malaya sebelum menghadapi saingan Piala Hyundai ASEAN 2026 turun menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25hb Julai (Sabtu) untuk aksi pertama peringkat Kumpulan B.
Selepas daripada itu, Harimau Malaya akan kembali ke tanah air untuk melayan kunjungan Laos pada 28hb Julai (Selasa) untuk aksi kedua Kumpulan B di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Perlawanan ketiga, Harimau Malaya akan terbang ke Bangkok untuk menentang pasukan paling berjaya dalam pertandingan ini dengan tujuh kejuaraan, Thailand di Stadium Rajamangala pada 1hb Ogos (Sabtu).
Akhir sekali, anak-anak buah Cheng Hoe akan menutup aksi peringkat Kumpulan B dengan menentang Filipina di halaman sendiri, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8hb Ogos (Sabtu).
FEATURED IMAGE: Malaysia NT