Noor Al-Rawabdeh Tinggalkan Selangor FC

July 16, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain tengah yang beraksi dalam kancah Piala Dunia 2026 bersama Jordan, Noor Al-Rawabdeh tidak lagi menyarung jersi Selangor FC bagi musim 2026-27.

Selepas tiga musim bersama, pemain berusia 29 tahun terbabit meninggalkan skuad berjulukan Gergasi Merah dan kembali ke negara kelahirannya untuk menyertai Al Faisaly SC.

Penyertaan Noor diumumkan secara rasmi oleh Al Faisaly SC menerusi pelbagai akaun media sosial rasminya, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Noor meninggalkan Selangor FC setelah merekodkan 84 penampilan selain menyumbang sembilan gol dan 11 bantuan jaringan dalam semua pertandingan sejak 2023.

Karier Noor bersama Selangor FC turut disulami dengan episod malang ditimpa kecederaan serius di bahagian kepala yang memerlukan jahitan serta kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang memaksanya berehat panjang.

Namun disiplin, dedikasi dan komitmen tinggi dalam proses pemulihannya menyaksikan Noor kembali lebih awal daripada jangkaan sekaligus membantu memberikan lebih pilihan buat Selangor FC. 

“Sejak hari pertama, Noor membawa kestabilan, keseimbangan dan keyakinan di bahagian tengah, menjadikannya antara tonggak utama dalam saingan domestik dan antarabangsa.” tulis Selangor FC dalam kenyataan penghargaan buat Noor di laman sesawang rasminya.

Selangor FC melabelkan Noor bukan sahaja sebagai pemain yang penting di bahagian tengah bahkan turut mengangkatnya sebagai figura yang membimbing pemain muda serta memberi keseimbangan kepada struktur pasukan. 

“Karakter, ketenangan dan kepimpinan beliau di dalam serta luar padang akan terus terpahat dalam ingatan seluruh keluarga Selangor FC sebagai simbol dedikasi dan profesionalisme sebenar seorang pemain Gergasi Merah,” tambah kenyataan Selangor FC lagi.

Untuk makluman, Al Faisaly SC merupakan kelab terakhir disertai Noor sebelum berkelana ke Malaysia menyertai Selangor FC.

FEATURED IMAGE: Al Faisaly SC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd