Kontinjen Malaysia Sasar 5 Emas Sukan Komanwel 2026
Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia yang diketuai Chef de Misison (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz menuju ke Glasgow, Scotland dengan sasaran untuk merangkul 5 pingat emas daripada temasya Sukan Komanwel 2026.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) berkongsikan sasaran tersebut kepada umum selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2026, pada hari ini.
Selain kilauan emas, beliau turut meletakkan sasaran 2 pingat perak dan 4 pingat gangsa untuk di bawa pulang ke tanah air. Sasaran itu diletakkan berdasarkan potensi serta prestasi semasa para atlet.
Bagaimanapun, beliau tidak menyandarkan sebarang pungutan pingat emas mahupun perak dan gangsa terhadap mana-mana atlet ataupun sukan-sukan tertentu.
Kontinjen Malaysia terbang ke Glasgow dengan dianggotai 59 atlet – 37 atlet able dan 22 atlet para – yang akan bersaing dalam 64 acara melibatkan lapan daripada keseluruhan 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antara sukan-sukan yang disertai kontinjen negara adalah angkat berat dan powerlifting, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3×3 dan bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, judo, boling padang dan para boling padang, serta olahraga dan para olahraga.
Sebagai perbandingan, Malaysia menamatkan Sukan Komanwel edisi lalu di Birmingham dengan membawa pulang 7 pingat emas, 8 pingat perak dan 8 pingat gangsa serta menamatkan saingan di tangga kesepuluh.
Untuk makluman, Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dijadualkan berlangsung bermula 23hb Julai dan berakhir pada 2hb Ogos dengan majlis pembukaan rasminya akan disempurnakan oleh Raja Britain, Raja Charles III di The Hydro, Glasgow.
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia Facebook