Habib Kembali Ke Terengganu FC – Kontrak Hingga Mei 2027
Hafiz Omar

Satu lagi pemain yang tidak asing, Habib Haroon kembali semula ke pangkuan Terengganu FC menjelang kempen Liga Malaysia 2026-27.
Penyertaan semula pemain kelahiran Nigeria yang memegang pasport Bahrain itu dikongsikan sendiri Terengganu FC menerusi laman sesawang rasmi dan pelbagai akaun media sosialnya, pada hari ini.
Dimaklumkan, pemain tengah berusia 26 tahun terbabit mengikat kontrak selama semusim yang menyaksikannya menyarung jersi Hitam Putih sehingga 31hb Mei 2027.
Untuk makluman, Habib tiba di bumi Darul Iman selepas beraksi bersama Kelantan The Real Warrior FC pada musim lalu. Sebelum itu, Habib bermain di Bahrain bersama Sitra Club dan Bahrain SC.
View this post on Instagram
Kepulangan Habib turut menyatukan semula pemain berketinggian 1.70 meter (m) itu dengan Nafuzi Zain – jurulatih yang sama membimbingnya di Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC sebelum ini.
“Pengalaman serta keserasian yang telah terjalin sebelum ini diyakini mampu memperkukuhkan lagi jentera tengah pasukan dalam menghadapi cabaran musim baharu,” tulis kenyataan Terengganu FC.
Semasa tempoh pertama dari tahun 2021 hingga 2023, Habib memainkan peranan penting dalam membantu Terengganu FC mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 dan menamatkan kempen Liga Super 2022 sebagai naib juara.
Untuk makluman, Habib menjadi pemain import kedua “kitar semula” yang dipilih Nafuzi Zain selepas mengikat semula khidmat Manuel Ott dari Filipina.
FEATURED IMAGE: Terengganu FC