Nicolas Otamendi Bersara Bola Sepak Antarabangsa

July 24, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pertahanan tengah, Nicolas Otamendi mengumumkan pengunduran dirinya daripada arena bola sepak antarabangsa bersama skuad kebangsaan Argentina pada usia 38 tahun.

Perkara tersebut dikongsikan Otamendi dengan penuh emosi menerusi hantaran di akaun media sosialnya pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) – empat hari selepas berakhirnya Piala Dunia FIFA 2026.

Pengumuman itu menoktahkan penglibatan 17 tahun bersama La Albiceleste dimana Otamendi berhasil meraih 139 penampilan bermula debut ketika menentang Panama pada tahun 2009 di bawah kendalian mendiang Diego Maradona.

Walaupun beraksi di posisi pertahanan, Otamendi yang pernah menyarung jersi Manchester City berhasil meledak lapan gol serta mencetak tiga bantuan gol bersama Argentina.

Otamendi merupakan sebahagian daripada skuad Argentina yang menjulang kejuaraan Copa America 2021 dan 2024 serta Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar.

Untuk makluman, Otamendi kini beraksi bersama River Plate selepas meninggalkan Benfica penghujung musim lalu – menamatkan tempoh 16 tahun pembabitannya dalam kancah bola sepak eropah.

FEATURED IMAGE:  AFA – Seleccion Argentina

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd