Aznil Bidin Hatrik Pingat Emas Sukan Komanwel
Hafiz Omar

Jaguh angkat berat kebangsaan, Muhamad Aznil Bidin menempa sejarah dalam arena sukan tanah air apabila muncul sebagai atlet Malaysia pertama yang memenangi pingat emas tiga kali berturut-turut dalam tiga edisi Sukan Komanwel.
Kilauan pingat emas ketiganya menjelma selepas atlet berusia 32 tahun menampilkan aksi cemerlang dalam kategori 65 kilogram (KG) lelaki dengan merekodkan jumlah angkatan keseluruhan 299 kilogram (KG) menerusi 133kg dalam “snatch” dan 166kg dalam “clean and jerk” di Scottish Event Campus (SEC), awal pagi tadi waktu Malaysia.

Bertambah manis, angkatan itu turut meletakkan namanya selaku pemegang rekod temasya baharu dalam acara berkenaan dan ianya merupakan pingat emas kedua dikutip Kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 kali ini.
Sementara itu, Mutupandhi Raja (India) dan Morea Baru (Papua New Guinea) mengutip pingat perak dan gangsa serta melengkapkan kedudukan podium hasil merekodkan jumlah angkat seberat 286KG dan 282KG masing-masing.
Untuk makluman, Aznil melengkap hatrik pingat emas di Sukan Komanwel selepas memenangi kategori 62KG di Gold Coast 2018 sebelum mengulanginya dalam kategori 61KG di Birmingham 2022.
FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia