Khidmat Pape Diakite Dipancing Semula Terengganu FC
Hafiz Omar

Seorang lagi bekas pemain import, Pape Diakite yang berusia 33 tahun menyertai semula Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026-27 dan bekerjasama semula dengan Nafuzi Zain.
Diakite menyertai semula Terengganu FC dengan kontrak selama semusim dan perkara itu dikongsikan sendiri pihak kelab menerusi laman sesawang dan pelbagai akaun media sosialnya, pada Ahad.
Beraksi di posisi pertahanan, Diakite tiba di bumi Darul Iman selepas menghabiskan saingan musim lalu bersama Kedah FA yang beraksi dalam kancah Liga A1 Semi-Pro.
View this post on Instagram
“Dengan ketinggian 1.94 meter, kekuatan fizikal serta keupayaan membaca permainan yang baik, (Pape) Diakite diharapkan mampu membawa kestabilan di bahagian pertahanan, di samping menjadi contoh kepada pemain-pemain lain menerusi pengalaman profesional yang dimilikinya sepanjang karier.” tulis kenyataan Terengganu FC.
Selepas meninggalkan Terengganu FC pada penghujung musim 2022, Diakite meneruskan kariernya dengan menyertai Hoang Anh Gia Lai FC di Vietnam.
Selepas itu, khidmat Diakite dipancing oleh Calicut FC yang berpangkalan di Kerala, India dan Lalitpur City FC di Nepal. Sebelum kembali ke Malaysia menyertai Kedah FA, Diakite sempat beraksi buat seketika waktu bersama Chiangmai United FC di Thailand.
Diakite merupakan bekas pemain import yang keempat ditandatangani semula Terengganu FC bimbingan Nafuzi Zain selepas membawa masuk Manuel Ott, Habib Haroon dan Jordan Mintah (kini mempunyai pasport Malaysia).
FEATURED IMAGE: Terengganu FC