Kelab-Kelab Premier League Henti Papar Syarikat Judi Hadapan Jersi Musim 2026-27

July 27, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tiada lagi logo syarikat judi yang terpapar pada hadapan jersi kelab-kelab Liga Perdana (PL) pada kempen musim 2026-27 yang akan membuka tirainya bermula 22hb Ogos kelak.

Perkara tersebut disahkan selepas tiada sebarang kelab PL yang bertanding memaparkan logo syarikat judi pada bahagian hadapan jersi ketika melancarkan dan memperkenalkan jersi “home” mahupun “away” bagi musim mendatang.

Perkembangan itu hadir susulan daripada persetujuan yang disepakati secara sukarela kalangan kelab-kelab PL pada tahun 2023 untuk menghentikan penajaan syarikat judi pada bahagian hadapan jersi masing-masing dengan penguatkuasaannya bermula selepas musim 2025-26.

Pada musim lalu, sebanyak 11 daripada 20 kelab PL mempunyai penajaan daripada syarikat judi di hadapan jersi masing-masing – Aston Villa (Betano), Bournemouth (bj88), Bretford (Hollywoodbets), Burnley (96.com), Crystal Palace (Net88), Everton (Stake.com), Fulham (SBOTOP), Nottingham Forest (Bally’s), Sunderland (W88), West Ham United (BoyleSports) dan Wolverhampton Wanderers (Debet).

West Ham United, Burnley dan Wolverhampton Wanderers telah tersingkir ke Liga Kejuaraan namun sembilan lagi baki kelab-kelab tersenarai di atas telah bertukar kepada penaja daripada pelbagai sektor lain seperti Visit Rwanda (Aston Villa), Vitality (Bournemouth), Indeed (Brentford), Temporal (Crystal Palace), CMC Market (Everton) dan Corendon (Fulham).

Sementara itu, dua kelab lagi iaitu Nottingham Forest dan Sunderland tidak menampilkan sebarang penaja di hadapan jersinya – sama seperti Chelsea.

Bagaimanapun, difahamkan, kelab-kelab PL masih boleh menerima penajaan daripada syarikat judi dan boleh memaparkannya di lengan serta papan iklan led dan segenap ruangan stadium pada hari perlawanan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd