Sukan Komanwel: Erry Hidayat Sumbang Emas Ketiga Buat Malaysia

July 28, 2026
Lain-Lain

Hafiz Omar

Kontinjen Malaysia kini mengumpul tiga butir pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2026 selepas jaguh angkat berat negara, Erry Hidayat mengungguli kategori 79 kilogram (kg) lelaki, awal pagi tadi.

Kilauan pingat emas itu menjelma selepas atlet berusia 26 tahun terbabit melakukan jumlah angkatan seberat 331kg menerusi 147kg dalam “snatch” dan 184kg bagi “clean and jerk”.

Bertambah manis, jumlah angkatan itu turut memecahkan rekod temasya dan ini merupakan pingat emas pertama diraih Erry dalam Sukan Komanwel selepas merangkul pingat perak pada edisi Birmingham 2022.

Sementara itu, Valluri Ajaya Babu (India) dan Chris Murray (England) melengkapkan kedudukan podium dan meraih pingat perak serta gangsa dengan jumlah angkatan seberat 330kg dan 325kg masing-masing.

Terdahulu, Kontinjen Malaysia telah meraih dua pingat emas selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin menjuarai kategori 60kg dan 65kg masing-masing.

FEATURED IMAGE: Majlis Sukan Negara Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd