UPSI Muncul Juara Keseluruhan UNISAIL 2026
Hafiz Omar

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dalam Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu.
UPSI meraih gelaran juara selepas mengumpul 26 mata mengatasi saingan sengit pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mengutip 24 mata sekaligus terpaksa akur dengan gelaran naib juara. Sementara itu, wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS) pula menduduki tempat ketiga hasil mengumpul 22 mata.
Kejayaan terbabit mendapat pujian daripada Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff terutamanya dapat menewaskan pasukan dari luar negara.
“Kejayaan julung kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.”

“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya dalam satu kenyataan.
Perjalanan pasukan UPSI meraih gelaran juara bermula dengan mempamerkan prestasi yang konsisten sejak peringkat kelayakan – menjuarai Kumpulan B dengan kutipan 14 mata menerusi empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua serta tiga mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.
Momentum itu diteruskan pada peringkat akhir apabila pasukan UPSI berjaya meraih enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata dalam perlumbaan kedua serta masing-masing enam mata dalam perlumbaan ketiga dan keempat.
Untuk makluman, kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk Singapura dan Taiwan.