Penganjur Tawar Tiket Zon Madani RM62 – Premier League Legends vs World Legends

August 3, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Tiket untuk menyaksikan pertembungan membabitkan legenda Liga Perdana (PL) dan Legenda Dunia anjuran AllStar Sports di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3hb Oktober kelak ditawarkan semurah RM62 bagi Zon Madani (Kategori 4).

Bagaimanapun, penawaran tiket bagi zon tersebut adalah terhad. Selain itu, penganjur turut menawarkan lima lagi kategori iaitu Kategori 3 (RM98), Kategori 2 (RM168), Kategori 1 (RM209), Grand Stand (RM399) dan VIP (RM1,998).

Pembelian bagi Kategori 3, tempat duduk bebas, disertakan dengan diskaun sebanyak 20% apabila membelinya secara pukal iaitu lima tiket dalam satu pembelian – menjadikannya berharga RM78.40 bagi setiap tiket.

Bagi Kategori 2 dan Kategori 1, ianya merupakan tiket tempat duduk bernombor.

Untuk kategori Grand Stand, pembelian tiket akan disertakan dengan beg cenderamata rasmi sementara tiket VIP pula akan mendapat akses premium serta sesi ramah mesra dan tandatangan bersama legenda bola sepak.

Kesemua tiket itu mula dijual pada jam 2 petang pada hari ini di laman sesawang ticket2u.com.my

Penganjur, AllStar Sports yang berkolaborasi dengan World Football Legends (WFL) juga telah mendedahkan barisan pemain yang akan membarisi kedua-dua pasukan tersebut secara rasmi pada hari ini.

Antaranya Legenda PL akan disertai Steven Gerrard, Michael Owen, Ryan Giggs, Eidur Gudjohnsen dan John Arne Riise. Legenda Dunia pula dibarisi Alessandro del Piero, Jaap Stam, Javier Saviola, Fernando Morientes dan Dida.

Nama-nama lain akan didedahkan oleh penganjur menjelang tarikh perlawanan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd