Kelantan Red Warrior FC Ambil Khidmat Wan Jamak Wan Hassan
Hafiz Omar

Pendatang baharu Liga Super iaitu Kelantan Red Warrior FC tampil memperkemaskan lagi struktur dan hala tuju kelab dengan melantik pengendali berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan sebagai Pengarah Teknikal.
Perkara tersebut dihebahkan secara rasmi oleh Kelantan Red Warrior menerusi pelbagai platform media sosialnya pada Isnin.
Selaku Pengarah Teknikal, peranan utama Wan Jamak adalah melaksanakan pelan jangka panjang melibatkan aspek pembangunan akar umbi, kualiti kejurulatihan, pencarian bakat, struktur pasukan, pembangunan pemain tempatan dan perancangan skuad bagi mencapai sasaran beraksi di kejohanan asia pada musim 2028-29.
“Antara sasaran utama adalah pembangunan akar umbi iaitu memperkasakan akademi kelab dengan pencarian bakat dan pembangunan pemain muda sehingga mampu beraksi ke pasukan senior. Matlamatnya adalah melahirkan lebih ramai pemain Kelantan untuk menjadi aset kelab pada masa hadapan.”
View this post on Instagram
“Selain pembangunan pemain, aspek kejurulatihan turut diberi perhatian. Beliau diharapkan dapat membantu melahirkan barisan jurulatih tempatan dari bekas pemain atau individu menjadi lebih berilmu, berdisiplin dan mengikuti perkembangan semasa dalam sukan bola sepak moden. Peningkatan lesen kejurulatihan, pendedahan taktikal dan metod latihan serta sains sukan perlu menjadi sebahagian daripada budaya baharu pihak kelab.”
“Sasaran paling besar adalah membina kelab ini supaya mampu melangkah lebih jauh dalam tempoh tiga tahun yang akan datang. Misi ke Asia 2028/29 bukan sekadar sasaran sebaliknya satu perancangan teknikal yang harus bermula dari sekarang.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.
Untuk makluman, Wan Jamak tiba di Kota Bharu selepas meninggalkan posisi Pengarah Teknikal Kuching City FC yang disandangnya sejak 2021. Sebelum itu, Wan Jamak berperanan sebagai Ketua Pembangunan Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula 2015.
Ketika berkecimpung sebagai jurulatih, Wan Jamak cukup diingati sebagai individu yang memimpin Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2009 dan Piala FA 2010.
FEATURED IMAGE: Kelantan Red Warrior FC