Kejohanan Olahraga Dunia B-20: Danish Iftikhar Mara Ke Pusingan Akhir 100m
Hafiz Omar
Pelari pecut remaja negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee bakal berentap dalam pusingan akhir acara 100m lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2026, pada hari Jumaat.
Atlet berusia 19 tahun itu berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir selepas menamatkan perlumbaan separuh akhir saringan kedua pada hari ini bertempat di University of Oregon, Amerika Syarikat dalam kelompok tiga terbaik.
Danish muncul pelumba kedua terpantas melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.36 saat (s). Sementara itu, Gary Card dari Jamaica muncul yang terpantas dengan rekod 10.16s manakala Richard Machata dari Slovakia di tempat ketiga dalam masa 10.38s.
View this post on Instagram
Selain Danish, Gary dan Richard, terdapat enam lagi pelumba berjaya melayakkan diri ke perlumbaan akhir; Saringan 1 – Marko Ferreira (Afrika Selatan, 10.13s), Kyler Brown (Amerika Syarikat, 10.16s) dan Wazha Matakule (Botswana, 10.28s); Saringan 3 – Tate Taylor (Amerika Syarikat, 10.06s), Jake Odey-Jordan (Great Britain, 10.24s) dan Bright Otiora (Belgium, 10.32s).
Sebagai perbandingan, rekod peribadi terbaik Danish Iftikar dalam acara pecut 100m adalah 10.18s dilakukannya ketika menyertai Sukan SEA Thailand 2025.
Seorang lagi atlet remaja negara, Muhamad Ariel Iskandar Rusli yang menyertai sacara yang sama terkandas awal selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 1 saringan kelapan di tempat kelapan – catatan masa 10.65s.
Untuk makluman, perlumbaan akhir acara pecut 100m dijadualkan berlangsung pada jam 11.50 pagi esok (waktu Malaysia).
FEATURED IMAGE: Olahraga Malaysia