Malaysia Sapu Bersih Kejuaraan Sektor Beregu B-19 Di Filipina
Hafiz Omar

Tiga wakil Malaysia bawah 19 tahun (B-19) mengakhiri saingan Siri Antarabangsa Remaja Filipina 2026 dengan gelaran juara apabila menewaskan lawan masing-masing di Komplek Sukan Memorial Rizal, Manila pada Ahad.
Beregu campuran, Khashah Khairul Azlan dan Nur Aina Maisarah Hatta meraih kemenangan sekaligus menepati jangkaan selaku pilihan pertama kejohanan dengan menumbangkan wakil Vietnam, Nguyen Tat Dut Loi dan Nguyen Thu Huyen menerusi skor 21-16 dan 21-8 dalam masa 22 minit.
Seterusnya, Khasha menambah satu lagi koleksi kejuaraan apabila melakar satu lagi kemenangan dalam sektor beregu lelaki bersama Iqbal Yusuf.
View this post on Instagram
Kemenangan itu menjelma hasil mengalahkan beregu senegara, Ungku Ameer dan Ivan Lim setelah bertarung sengit hampir satu jam lamanya menerusi skor 21-16, 17-21 dan 23-21.
Malaysia melengkapkan gelaran kejuaraan di sektor beregu menerusi gandingan wanita, Leong Hwe Ling dan Teoh Min Yi yang mengetepikan wakil Thailand, 21-16 dan 21-19 dalam masa 37 minit.
Sementara itu, satu lagi wakil negara yang beraksi dalam sektor perseorangan lelaki, Leong Di Shan terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara susulan tewas kepada Nguyen Tat Duy Loi menerusi skor 20-22, 21-17 dan 21-16 dalam masa 52 minit.
FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia