Tekongan 2.28m Syahir Dapat Pengiktirafan MBOR
Hafiz Omar

Tekong sepak takraw negara, Syahir Rosdi mendapat pengiktirafan rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori “Highest Tekong Kick By Individual”.
Persoalan mengenai ketinggian sebenar tekongan yang dipamerkan Syahir setiap kali beraksi di dalam gelanggang terjawab apabila percubaan yang dilakukan semalam dapat diukur – mencapai ketinggian 2.28m.
Pemain berusia 30 tahun berkenaan melakukan rekod terbabit ketika menyertai Karnival GenBlu Yamaha di Setia City Convention Centre (SCCC) – acara yang menghimpunkan peminat motosikal Yamaha dari seluruh negara serta pengenalan model-model motosikal baharunya.
Syahir, yang turut diperkenalkan sebagai anggota baharu keluarga Yamaha, mencuri perhatian pengunjung menerusi aksi tekongan yang menjadi antara kemuncak acara tersebut.
Lebih menarik, karnival berkenaan turut menyaksikan penganjuran aktiviti “Sahut Cabaran Tekong Challenge”, yang memberi peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri aksi tekongan.
Aktiviti tersebut mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan pengunjung mengambil bahagian dan mencuba untuk meniru aksi tekongan yang sinonim dengan Syahir.
Program berkenaan turut menerima pengiktirafan MBOR menerusi kategori “Most Tekong Kicks In an Event”, sekali gus melengkapkan kemeriahan Karnival GenBlu Yamaha.
Pengiktirafan berganda itu bukan sahaja menyerlahkan kehebatan Syahir sebagai atlet sepak takraw, malah membuktikan kemampuan sukan tradisional negara itu menarik minat masyarakat menerusi pendekatan yang lebih santai dan interaktif.
Kehadiran Syahir di Karnival GenBlu Yamaha turut memberikan peluang kepada peminat untuk melihat dengan lebih dekat aksi seorang tekong bertaraf dunia selain mencuba sendiri cabaran yang selama ini hanya dapat disaksikan menerusi pertandingan.
Dengan catatan 2.28m tersebut, Syahir kini bukan sekadar dikenali kerana aksi tekongannya di gelanggang malah mempunyai rekod rasmi yang mengukur kemampuan luar biasa itu.