Penetapan Harga Tiket Separuh Akhir Ambil Kira Pelbagai Faktor & Kos – FAM

August 11, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Peningkatan harga tiket bagi pertembungan skuad bola sepak kebangsaan dan juara bertahan, Vietnam pada peringkat separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 menimbulkan ketidakpuasan hati sekelompok penyokong Malaysia.

Berdasarkan pengumuman, jualan tiket bagi aksi separuh akhir itu ditetapkan pada harga RM50 bagi kategori Terbuka – peningkatan sebanyak RM20 berbanding harga jualan pada peringkat kumpulan.

Sementara itu, harga tiket bagi kategori Grandstand dan VIP pula ditetapkan pada harga RM70 dan RM100 masing-masing. Hanya harga tiket Terbuka (Kanak-Kanak) sahaja kekal pada tanda harga RM5.  

Badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media ambil maklum akan kenaikan harga yang dibangkitkan oleh penyokong sambil menjelaskan harga itu ditetapkan atas pelbagai faktor dan kos yang terlibat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

“Untuk makluman, penetapan harga tiket perlawanan separuh akhir ini mengambil kira beberapa faktor termasuk kos penganjuran, operasi dan keselamatan, pengurusan venue serta keperluan teknikal pertandingan.” tulis kenyataan oleh FAM yang dikongsikan kepada pihak media.

Difahamkan, penetapan harga tiket separuh akhir itu telah dibuat dengan mengambil kira keseimbangan antara kos dan penganjuran dan usaha memastikan perlawanan pasukan kebangsaan terus dapat dihadiri penyokong skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

“Kami berharap para penyokong dapat memahami pertimbangan di sebalik penetapan harga tiket ini dan terus bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya bagi menghadapi penting menentang Vietnam.” ujar kenyataan oleh FAM itu lagi.

Terdahulu, Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir selepas menamatkan kempen peringkat Kumpulan B selaku naib juara.

Kedudukan itu diraih selepas menumpaskan Myanmar, Laos dan Filipina sekaligus memungut sembilan mata daripada 12 mata penuh.

Perlawanan separuh akhir pertama melibatkan Malaysia dan Vietnam dijadualkan berlangsung pada 16hb Ogos (Ahad) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan sepak mula pada jam 9 malam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd