20 Pasukan Warnai Le Tour de Langkawi 2026

August 12, 2026
Basikal

Hafiz Omar

Penganjur tampil mengesahkan dua pasukan WorldTeam dan lapan pasukan berstatus ProTeam akan mewarnai Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang dijadualkan berlangsung dari 27hb September hingga 4hb Oktober kelak.

Secara keseluruhannya sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dalam perlumbaan edisi ke-30 ini termasuk melibatkan sembilan pasukan Benua (Continental) dan pasukan kebangsaan Malaysia bagi mengharungi lapan peringkat perlumbaan yang meliputi jarak sejauh 1,285.5km.

Menurut penganjur, dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini ialah XDS Astana (Kazakhstan) dan

Picnic PostNL (Belanda) manakala lapan pasukan ProTeam pula terdiri daripada Tudor Pro Cycling Team (Switzerland); Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol); TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis); Bardiani CSF-Saber (Itali); dan muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling (Amerika Syarikat).

Sembilan pasukan benua pula terdiri daripada Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling (Malaysia); Thailand Continental Cycling Team (Thailand); 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina); Nusantara Cycling Team (Indonesia); WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China);

Aisan Racing Team (Jepun); KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).

Penganjuran edisi kali ini kehilangan dua nama besar iaitu yang terdiri daripada pasukan ProTeam, Uno-X Mobility dan Polti VisitMalta. Pada masa yang sama, kehilangan itu turut menyaksikan pengurangan penyertaan dua pasukan berbanding edisi lalu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, walaupun jumlah pasukan bertanding kali ini berkurangan berbanding 22 pasukan pada saingan edisi lalu, ia masih menepati kuota perlumbaan berstatus ProSeries yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Sebab utama pengurangan pasukan ini adalah demi langkah penjimatan oleh semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan disebabkan ketidakstabilan ekonomi negara dan geopolitik dunia.

“LTdL membuat penjimatan menerusi dua aspek iaitu mengurangkan kos ‘appearance fee’ dan ‘travel allowance’ pasukan WorldTeam, dengan menolak permintaan pasukan EF Education dan Uno-X kerana Astana dan Picnic PostNL lebih awal mengesahkan penyertaan mereka,” kata Jefri di majlis pengumuman pengesahan penyertaan 20 pasukan bertanding dalam LTdL2026 di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Malah, laluan di Pulau Langkawi terpaksa ‘dipadam’ tahun ini disebabkan langkah penjimatan logistik yang lazimnya menelan kos tinggi.

Begitupun, dengan komposisi 2 pasukan WorldTeam dan 8 ProTeam itu, LTdL26 diyakini tetap menyaksikan mutu perlumbaan bertaraf tinggi, sengit, menarik dan sukar diramal, lebih-lebih lagi dengan adanya tiga peringkat pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Pasukan Astana, Picnic dan Tudor menyertai ketiga-tiga jelajah terbesar dunia (Grand Tour) iaitu Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana; begitu juga TotalEnergies dan Caja Rural. Bardiani dan Unibet pula berlumba di Giro manakala Kern Pharma dan Burgos turut bersaing di Vuelta.

“Jadi sembilan pasukan yang mengesahkan penyertaan kali ini tidak kurang handalnya dalam kancah perlumbaan bertaraf tinggi dunia dan saya pasti mereka akan menghantar kombinasi pelumba yang kuat untuk memastikan kemenangan,” kata Jefri lagi.

Muka baharu, Modern Adventure Pro Cycling pula adalah pasukan yang baru ditubuhkan pada tahun ini tetapi pasukan berpangkalan di Carolina Selatan itu dibimbing oleh legenda berbasikal dunia – George Hincapie yang pernah menjadi pembantu Lance Armstrong, Alberto Contador dan Cadel Evans, selain dibantu bekas pelumba yang pernah meraih kemenangan peringkat di Tour de France dan Giro, Bobby Julich.

Malah, Jefri berkata, MSN selaku penganjur LTdL turut berdebar-debar untuk melihat senarai nama pelumba yang akan dihantar oleh pasukan masing-masing kerana faktor bentuk laluan tahun ini dianggap antara yang sukar dan mencabar sepanjang sejarah penganjurannya sejak 1996.

“Ada sesetengah pasukan sudah menghantar nama pelumba tetapi kami yakin mereka akan mengubahnya pada saat-saat akhir dan menyenaraikan barisan terbaik kerana keputusan terbaik bermakna mereka turut mengutip mata-mata penting demi ranking mereka, terutama dalam perlumbaan di hujung musim,” kata Jefri lagi.

Perlumbaan LTdL26 yang berstatus ProSeries yang dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan bermula dari Shah Alam pada 27hb September dan berakhir di Putrajaya pada 4hb Oktober.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd