Belanda Guna Khidmat Jurulatih Sepanyol – Xavi Hernandez
Hafiz Omar

Skuad kebangsaan Belanda berjulukan Oranje mengumumkan legenda FC Barcelona iaitu Xavi Hernandez dari Sepanyol sebagai ketua jurulatih baharunya menggantikan Ronald Koeman.
Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) tampil berkongsikan mengenai pelantikan jurulatih berusia 46 tahun itu sebagai ketua jurulatihnya menerusi laman sesawang dan akaun media sosial rasminya, pada hari ini.
Dimaklumkan Xavi dan KNVB mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak selama empat tahun. Ini bermakna Xavi akan membimbing Belanda untuk melayakkan diri dan mengharungi dua kejohanan utama dalam tempoh itu – EURO 2028 dan Piala Dunia FIFA 2030.
View this post on Instagram
Pelantikan Xavi ini menyaksikan KNVB menggunakan khidmat jurulatih bukan kelahiran Belanda buat julung kalinya selepas 48 tahun. Kali terakhir Belanda menggunakan jurulatih luar adalah pada 1978 – Ernst Happel (Austria).
Pada masa yang sama, ini merupakan tugasan pertama Xavi selaku jurulatih selepas meletakkan jawatan sebagai pengendali Barcelona pada tahun 2024.
Perlawanan pertama Xavi bersama Belanda adalah turun melayan kunjungan Jerman bimbingan Jurgen Klopp dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada 25hb September kelak.
FEATURED IMAGE: KNVB