Iniesta Mulakan Karier Kejurulatihan Bersama Kelab UAE
Hafiz Omar

Bekas maestro FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta membuka lembaran baharu dalam kariernya apabila dilantik sebagai ketua jurulatih Gulf United FC.
Kelab yang beraksi dalam divisyen kedua bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu mengumumkan pelantikan Iniesta, 42 tahun, sebagai ketua jurulatihnya menerusi laman sesawang dan pelbagai akaun media rasminya.
“Menyertai Gulf United FC terasa seperti tempat yang tepat untuk memulakan babak baharu. Bola sepak telah memberikan segala-galanya kepada saya, dan kini saya mahu memberikan semula sesuatu menerusi kejurulatihan, pembelajaran, dan melalui kerja keras setiap hari bersama pemain-pemain muda yang bercita-cita tinggi dan bakat untuk melangkah jauh.” kata Iniesta.
View this post on Instagram
Tugasan ketua jurulatih ini tiba ke tangan Iniesta selepas mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2024.
Kelab terakhirnya adalah Emirates FC yang beraksi dalam kancah Liga Pro UAE.
Difahamkan, Iniesta membuat keputusan untuk mengendalikan Gulf United atas perkongsian kepercayaan kedua-dua pihak terhadap pembangunan jangka masa panjang pemain dan kekuasaan melabur dalam bakat muda.
Kelab yang diasaskan pada tahun 2019 ini mempertaruhkan skuad termuda dalam kancah UAE First Division dan sebelum ini pernah meraih promosi dua kali berturut-turut.
FEATURED IMAGE: Gulf United FC