MB Dilantik Sebagai Pengerusi Negeri Sembilan FC Baharu

August 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pucuk pimpinan Negeri Sembilan FC kini diisi oleh Dato’ Ismail Lasim – Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Perkembangan itu hadir selepas Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), YTM Tunku Syed Razman Ibnu Tunku Syed Idrus Al-Qadri mengumumkan pelantikan tersebut.

Ismail dipilih bagi menggantikan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun merangkap mantan Menteri Besar yang meletakkan jawatan selaku Pengerusi Negeri Sembilan FC.

“YAB Dato’ Haji Ismail bukanlah nama asing dalam keluarga bola sepak Negeri Sembilan. Beliau pernah bersama pasukan ini sebagai Pengurus Pasukan dan memahami nilai serta identiti yang dibawa oleh bola sepak Negeri Sembilan.” 

“Kini beliau kembali dalam kapasiti yang berbeza untuk memimpin Negeri Sembilan Football Club sebagai Pengerusi. Saya yakin pengalaman dan kepimpinan beliau mampu membantu NSFC meneruskan pembangunan kelab secara profesional, mampan dan berdaya saing.” kata Tunku Syed Razman.

Selaku Pengerusi Negeri Sembilan FC, Ismail akan menerajui hala tuju strategik kelab serta memperkukuhkan kerjasama antara NSFC, PBNS, Kerajaan Negeri dan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan bola sepak Negeri Sembilan secara menyeluruh.

Pada masa yang sama, Negeri Sembilan FC akan terus memberi tumpuan kepada pembinaan sebuah kelab profesional yang mampan dan kompetitif, di samping memperkukuhkan pembangunan pemain, struktur kelab, aspek komersial serta hubungan bersama komuniti dan penyokong.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd