Bubbles O2, MFL Perbaharui Kerjasama Sehingga 2028-29

August 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jenama air mineral beroksigen semula jadi premium, Bubbles O2 dan penganjur bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) meneruskan kerjasamanya bagi tempoh tiga musim lagi.

Perkembangan itu hadir selepas kedua-dua pihak memperbaharui perjanjian kerjasamanya pada hari ini menerusi Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Penajaan di ibu pejabat Bubbles O2, Pedas, Negeri Sembilan.

Kerjasama itu menyaksikan Bubbles O2 meneruskan peranannya sebagai Rakan Air Mineral Beroksigen Semula Jadi Eksklusif meliputi musim Liga Malaysia 2026-2027 hingga 2028-2029.

Menerusinya, Bubbles O2 akan terus membekalkan air mineral beroksigen semula jadi premiumnya kepada semua pertandingan di bawah kelolaan MFL bagi memastikan pemain, pegawai perlawanan serta warga kerja liga mendapat hidrasi terbaik sepanjang musim.

Sebagai rekod, Bubbles O2 dan MFL memulakan kerjasamanya pada tahun 2023.

Sepanjang tempoh tersebut, Bubbles O2 telah berkembang daripada sebuah syarikat yang mempunyai lebih 100 kakitangan kepada lebih 250 kakitangan di samping memperkukuhkan keupayaan pengeluaran, rangkaian pengedaran di seluruh negara serta membina sebuah ekosistem perniagaan bersepadu yang menyokong pertumbuhan jangka panjang. 

Ketika ini, produk Bubbles O2 boleh didapati di rangkaian pasar raya, pasar raya besar, kedai serbaneka, stesen minyak, hotel, agensi kerajaan serta pelbagai venue sukan di seluruh Malaysia.

Bahkan Bubbles O2 juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa sekaligus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha mengangkat jenama Malaysia ke peringkat global.

Selain menghasilkan air mineral beroksigen semula jadi, Bubbles O2 kini mempunyai ekosistem yang merangkumi penerokaan sumber air bawah tanah, pemasaran dan penjenamaan, logistik, media digital serta kerjasama strategik. 

Menerusi ekosistem ini, Bubbles O2 terus melabur semula pertumbuhan syarikat ke dalam pembangunan sukan, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara. 

Perkara itu menjadikan Bubbles O2 antara jenama tempatan yang paling aktif menyokong pembangunan sukan negara melalui kerjasama dengan pelbagai persatuan sukan kebangsaan, liga profesional, kelab bola sepak negeri dan acara sukan utama.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd