Gary, Hazwan Sertai Kelab Bimbingan Dollah Salleh
Hafiz Omar

Dua pemain yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan, Gary Steven Robbat dan Hazwan Bakri tampil memperkukuhkan kelab bimbingan Dato’ Dollah Salleh iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City).
Gary, 33 tahun, yang beraksi sebagai pemain tengah melanjutkan karier bola sepaknya bersama KL City selepas empat musim menyarung jersi Sabah FC.
Musim lalu menyaksikan Gary merekodkan 22 penampilan bersama Sang Badak dan menjadi sebahagian daripada skuad yang membantu Sabah FC meraih kejuaraan MFL Challenge Cup.
Sementara itu, Hazwan, penyerang berusia 35 tahun berhijrah ke ibu kota selepas dua musim berkelana di kepulauan Borneo bersama Kuching City FC.
Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sempat merekodkan 13 penampilan dan menjaringkan dua gol – membantu skuad berjulukan The Cats menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara dan menempah tiket ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Sementara itu, KL City mengesahkan 12 pemain daripada skuad musim lalu kekal – Quincy Kammeraad, Giancarlo Gallifuoco, Paulo Josue, Kenny Pallraj, Fazrul Amir, Syazwan Andik, Kamal Azizi, Zhafri Yahya, Azrif Nasrulhaq, J. Partiban, Adam Nor Azlin dan S. Sharvin.
FEATURED IMAGE: Kuala Lumpur City FC