Patrick Vieira Pengendali Baharu Senegal
Hafiz Omar
Bekas kapten Arsenal dan skuad kebangsaan Perancis, Patrick Vieira kini berperanan sebagai ketua jurulatih Senegal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pape Thiaw.
Perkembangan itu hadir selepas Persekutuan Bola Sepak Senegal mengumumkan pelantikan itu secara rasmi menerusi akaun media sosialnya, pada Selasa.
Bagaimanapun, perincian mengenai kontrak dan tarikh mula tugas jurulatih berusia 50 tahun kelahiran Dakar itu tidak didedahkan lagi kepada umum.
Monsieur Patrick Vieira est le nouvel entraîneur de l’équipe nationale A du Sénégal. La date de la présentation officielle et les prochaines étapes de son installation feront l’objet d’une communication ultérieure.
Bienvenue au Sénégal, Coach ✅ pic.twitter.com/eJca5zNXkn
— Equipe du Sénégal (@GaindeYi) August 18, 2026
Kali terakhir Vieira mengendalikan pasukan adalah bersama Genoa CFC yang berpangkalan di Itali. Namun begitu, Vieira dan Genoa berpisah dengan persetujuan bersama selepas kelab itu menghuni tangga tercorot Serie A pada November 2025.
Pencapaian paling cemerlang Vieira dalam karier kejurulatihannya hadir ketika bersama Crystal Palace dengan mara sehingga separuh akhir Piala FA 2021-22.
Terdahulu, Senegal berjulukan Lions of Teranga berpisah dengan Pape selepas tersingkir pada pusingan 32 di Piala Dunia FIFA 2026 susulan tewas 2-3 di tangan Belgium.
FEATURED IMAGE: Crystal Palace FC