MFL Lulus Penambahan Kuota Pemain Tempatan

August 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab-kelab Liga Malaysia boleh mendaftarkan maksimum 23 pemain tempatan untuk mengharungi saingan musim 2026-2027.

Perkembangan itu hadir susulan Ahli Lembaga Pengarah MFL meluluskan penambahan lima kuota pendaftaran pemain tempatan berbanding musim dahulu yang membenarkan pendaftaran 18 pemain sahaja.

Bagaimanapun, kuota pemain asing kekal sebanyak 15 pemain sepertimana ditetapkan sebelum ini.  Justeru, setiap kelab kini boleh membentuk skuad dengan penyertaan 38 pemain secara keseluruhan berbanding 33 pemain.

MFL menerusi satu kenyataan media menjelaskan keputusan itu dibuat susulan permohonan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat apabila masing-masing bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) masing-masing serta Piala Shopee selain pertandingan domestik.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL mengambil kira pelbagai faktor dalam meluluskan permohonan berkenaan termasuk kedudukan Kuching City FC yang tidak memiliki pasukan “Reserve Club” dan hanya bergantung kepada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk bersaing dalam pertandingan Liga Malaysia serta kejohanan antarabangsa.” 

“Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga melihat kepentingan penambahan kuota ini dalam membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, selain memberi ruang kepada pemain daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia yang telah melepasi had umur untuk didaftarkan bersama pasukan utama.” 

“Dengan penambahan kuota pemain ini, ia turut membantu JDT dan Kuching City FC yang akan mewakili negara di kejohanan kelab AFC bersaing dengan lebih kompetitif bagi meningkatkan mata ranking negara serta memburu kejuaraan di pentas Asia Tenggara.” tulis kenyataan oleh badan penganjur itu.

MFL menegaskan, biarpun kuota maksimum ditetapkan kepada 38 pemain namun setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi jumlah tersebut.

Untuk makluman, jendela perpindahan pemain Liga Malaysia 2026-2027 akan berakhir pada 3hb September 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd