Farres Meninggal Dunia Selepas Kemalangan Perlumbaan Cub Prix
Hafiz Omar
Pelumba CKJ Racing, Farres Putra Mohd Fadhill meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan akhir CP150 pusingan kelima Kejuaraan Malaysian Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu pada Sabtu.
Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan berita mendukacitakan itu menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di pelbagai akaun media sosialnya.
Dalam kenyataan yang sama, MAM menjelaskan Farres yang menggunakan nombor perlumbaan 33 terlibat kemalangan ketika di Selekoh 3 pada pusingan pembukaan perlumbaan.

Susulan kejadian itu, Farres menerima rawatan perubatan segera di litar sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Biarpun pasukan perubatan bertungkus lumus memberikan rawatan, Farres disahkan meninggal dunia di hospital.
MAM dalam kenyataannya menegaskan keadaan dan faktor yang melibatkan kemalangan itu akan diteliti mengikut prosedur sukan dan keselamatan yang berkuat kuasa.
Badan induk itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan pasukan CKJ Racing serta komuniti sukan permotoran Malaysia atas pemergian Farres Putra.
FEATURED IMAGE: MAM – Motorsports Association of Malaysia