Masters China: Pang Ron-Pei Jing Berdepan Pilihan Keenam
Hafiz Omar

Beregu campuran negara yang bergerak secara bebas, Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing bakal membuat perhitungan dengan pilihan keenam, Cheng Xing dan Zhang Chi pada pusingan 16 di Masters China 2026.
Pertembungan itu terhasil selepas Pang Ron-Pei Jing mencetak kemenangan ke atas Chan Yik Chak dan Ng Tsz Yau dari Hong Kong ketika bertembung di pusingan 32, sebentar tadi.
Aksi melibatkan kedua-dua pasangan ini berlangsung sengit sehingga memakan masa 51 minit sebelum Pang Ron-Pei Jing muncul sebagai pemenangnya menerusi skor 21-12, 16-21 dan 21-11.
Sementara itu, Xing-Chi pula melangkah ke pusingan 16 dengan mudah selepas mengetepikan wakil Kanada, Jonathan Bing Tsan Lai dan Crystal Lai menerusi skor 21-13 dan 21-12.
Sebagai rekod, Pang Ron-Pei Jing dan Xing-Chi pernah bertembung sebanyak satu kali sebelum ini di Masters Malaysia 2026 pada Mei lalu.
Bagaimanapun, pertarungan itu berakhir dengan Pang Ron-Pei Jing tewas 13-21, 21-12 dan 16-21 dalam masa 52 minit.
FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia