Masters China: Pang Ron-Pei Jing Singkir Pilihan Keenam

September 3, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing mencipta kejutan di Masters China 2026 apabila menyingkirkan pilihan keenam kejohanan, Cheng Xing dan Zhang Chi pada pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam aksi terbabit, pasangan No.65 dunia itu mencetak kemenangan bergaya menerusi skor 24-22 dan 21-19 dalam masa 48 minit ke atas Xing-Chi.

Keputusan itu memberikan Pang Ron-Pei Jing tiket ke suku akhir bagi kejohanan bertaraf Super 750 – pertama kali sejak bergandingan bermula Mei lalu.

Pada masa yang sama, kemenangan itu juga merupakan satu episod balas dendam oleh Pang Ron-Pei Jing selepas tewas pada pertemuan pertama di Masters Malaysia 2026 lalu.

Pada peringkat seterusnya, Pang Ron-Pei Jing akan membuat perhitungan dengan wakil Chinese Taipei iaitu Liu Kuang Heng dan Hsu Yin-hui – penghuni ranking ke-48 dunia.

Terdahulu, Kuang Heng-Yin-hui mara selepas menumpaskan pasangan India, Dhruv Kapila dan Tanisha Crasto menerusi skor 21-18 dan 21-18.

Aksi yang menarik untuk disaksikan memandangkan kedua-duanya belum pernah merekodkan sebarang pertemuan di pentas antarabangsa setakat ini.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd