Brazil Bimbingan Ancelotti Bertandang Ke Singapura Pada November

September 3, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara dunia sebanyak lima kali, Brazil akan bertandang ke negara seberang tambak iaitu Singapura pada November kelak. Ianya merupakan kedatangan semula skuad Samba ke Kota Singa itu selepas tujuh tahun.

Kehadiran skuad bimbingan Carlo Ancelotti pada kali ini adalah untuk menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA yang berlangsung dari 7hb hingga 19hb November.

Dalam tempoh itu, Brazil akan berhadapan Jepun pada 14hb November diikuti tuan rumah, Singapura selang tiga hari kemudian. Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Kallang yang berkapasiti 55,000 tempat duduk.

Perlawanan itu merupakan sebahagian daripada acara Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore yang turut disertai pasukan No.34 dunia, Paraguay. 

Tiket bagi perlawanan-perlawanan tersebut akan mula dijual pada 4hb September di laman sesawang, Ticketmaster dan talian, +65 6018 7645. 

Sebanyak lima kategori tiket dijual bagi keempat-empat perlawanan terbabit. Tiket bagi aksi melibatkan Singapura dan Paraguay bermula dari S$28 manakala pertembungan Brazil dan Jepun pula dijual bermula dari S$98.

Penganjur turut menetapkan permulaan harga jualan yang sama bagi pertembungan Singapura dan Brazil serta Jepun dan Paraguay pada 17hb November.

Setiap jualan akan dikenakan yuran tempahan sebanyak S$6 untuk tiket berharga S$50 dan ke atas sementara S$3 bagi tiket berharga S$20 hingga S$49.99.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd