Affin Kini Rakan Bank Rasmi Selangor FC

September 4, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kumpulan Affin diumumkan sebagai Rakan Bank Rasmi Selangor FC selepas menandatangani perjanjian kerjasama di Menara Affin, TRX pada hari ini. 

Kerjasama itu dimeterai selepas Presiden & CEO Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah dan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menurunkan tandatangan masing-masing ke atas dokumen perjanjian sambil disaksikan DYTM Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kerjasama itu membolehkan Affin dan Selangor FC menerokai pelbagai inisiatif berkaitan perbankan, pengalaman pelanggan, penglibatan peminat dan program komuniti.  

Pada masa yang sama, kerjasama ini dijangka akan mewujudkan peluang memberikan keistimewaan dan pengalaman eksklusif kepada pelanggan AFFIN serta penyokong Selangor FC termasuk komuniti Gergasi Merah. 

Susulan daripada pemeteraian kerjasama itu, Affin tampil mendedahkan Kad Debit Visa Affin Selangor – sebuah kad debit eksklusif buat warga negeri Selangor.

Permohonan kad ini hanya dibuka kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas, dilahirkan di Selangor berdasarkan kod kelahiran 10 dalam MyKad atau pelajar beralamat di negeri Selangor atau pemohon dengan alamat rumah atau beralamat pejabat di negeri Selangor. 

Kad debit itu menawarkan beberapa kelebihan yang menarik seperti pengecualian yuran kad debit tahunan seumur hidup, pengecualian yuran MEPS (3 pengeluaran pengecualian MEPS sebulan dengan baki minimum) dan deposit permulaan RM0 bagi pembukaan Akaun Simpanan atau Akaun Semasa Affin Selangor.

Untuk makluman, Selangor FC menjadi yang kedua mengumumkan Affin selaku Rakan Bank Rasmi selepas naib juara Liga Super 2025-26, Kuching City FC mengumumkan perkara yang sama sekitar tiga minggu lalu.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd