Masters China: Pang Ron-Pei Jing Meluncur Ke Separuh Akhir

September 4, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Perjalanan beregu campuran profesional, Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing di Masters China 2026 nampaknya berlanjutan sehingga ke peringkat separuh akhir.

Gandingan No.85 dunia itu merekodkan kemaraan selepas mencetak kemenangan ke atas Liu Kuang Heng dan Hsu Yin-hui dari Chinese Taipei pada aksi suku akhir, hari ini.

Dalam aksi terbabit, Pang Ron-Pei Jing bertarung sengit pada set pertama untuk melakar kemenangan 24-22 sebelum menyudahkannya dengan bergaya pada set kedua menerusi skor 21-5.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan pertama Pang Ron-Pei Jing ke peringkat separuh dalam siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 sejak membentuk gandingan sekitar Mei lalu.

Bagi aksi seterusnya, Pang Ron-Pei Jing akan membuat perhitungan dengan beregu yang menghuni ranking ke-28 dunia, Zhu Yi Jun dan Li Qian.

Pasangan dari negara tembok besar ini mencetak kemaraan selepas menumbangkan Wu Guan Xun dan Lee Chia Hsin dari Chinese Taipei menerusi skor 24-22 dan 21-12.

FEATURED IMAGE: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd