Masters China: Soon Huat-Shevon Bertembung Beregu No.1 Dunia

September 4, 2026
Badminton

Hafiz Omar

Sepasang lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Masters China 2026 – satu daripada siri Jelajah Dunia BWF Super 750.

Pasangan suami isteri yang turut diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan mencetak kemaraan dengan menumpaskan wakil tuan rumah, Gao Jia Xuan dan Wu Meng Ying dengan bergaya menerusi skor 21-15 dan 21-11 dalam masa 35 minit.

Bagaimanapun, kemenangan itu membawa mereka bertembung dengan lawan yang lebih sukar iaitu Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping – beregu campuran No.1 dunia.

Terdahulu, juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 itu melakar kemaraan selepas menyingkirkan beregu Chinese Taipei merangkap pilihan ketujuh kejohanan, Ye Hong Wei dan Nicole Gonzales Chan menerusi skor 21-10, 15-21 dan 21-12 dalam masa 57 minit.

Berdasarkan rekod, Soon Huat-Shevon pernah berentap dengan Yan Zhe-Dong Ping sebanyak lima kali namun tewas kelima-lima pertarungan tersebut.

Sebelum Soon Huat-Shevon, gandingan Hoo Pang Ron dan Lai Pei Jing terlebih dahulu melakar kemaraan ke separuh akhir.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd