Dzeko Bersara Bola Sepak Antarabangsa Selepas Bertemu Sweden

September 7, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penglibatan Edin Dzeko bersama skuad kebangsaan Bosnia & Herzegovina akan menemui titik noktahnya pada 3hb Oktober hadapan.

Perkembangan itu hadir selepas pemain berusia 40 tahun berkenaan mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak antarabangsa selepas Bosnia menentang Sweden dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada tarikh tersebut.

Dzeko yang turut berperanan sebagai kapten Bosnia mengumumkan keputusan itu menerusi akaun Instagram rasminya dan ianya sekaligus menamatkan perjalanan selama 19 tahun pemain berketinggian 1.93 meter (m) itu bersama Bosnia.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Edin Dzeko (@edindzeko)

Dzeko membuat penampilan pertama bersama Bosnia pada Jun 2007 ketika turun menentang Turkiye. Memori debutnya itu turut diserikan dengan gol sulungnya yang turut membantu Bosnia meraih kemenangan 3-2 ke atas Turkiye.

Sejak detik itu, Dzeko berhasil merekodkan 151 penampilan termasuk tampil sebanyak enam kali di pentas Piala Dunia edisi 2014 dan 2026. 

Malahan Dzeko turut meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak Bosnia sepanjang zaman apabila meledak 73 gol selama beraksi bersama skuad dari semenanjung Balkan terbabit. 

Dengan pengumuman pengundurannya daripada tugasan antarabangsa bersama Bosnia, Dzeko dilihat akan menumpukan sepenuh tumpuannya bersama Schalke – kelab yang melanjutkan khidmatnya selepas membantu Die Königsblauen menjuarai Bundeliga 2 musim lalu.

FEATURED IMAGE: FIFA WORLD CUP

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd