Malaysia Sasar Enam Emas Di Sukan Para Asia 2026
Hafiz Omar
Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya enam butir pingat emas daripada temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlangsung bermula 18hb hingga 24hb Oktober kelak.
Sasaran tersebut dilaungkan sendiri oleh Chef de Mission (CDM), Tan Chee Keong dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya di Bukit Jalil, pada Selasa.
Bukan sahaja kilauan emas, beliau turut mensasarkan Kontinjen Malaysia untuk membawa pulang 10 keping pingat perak dan 18 keping pingat gangsa menjadikan 24 butir pingat secara keseluruhan.

“Berdasarkan prestasi yang telah dipamerkan oleh atlet negara di pelbagai kejohanan peringkat asia dan antarabangsa, Kontinjen Malaysia berupaya memberikan saingan yang kompetitif serta mencapai sasaran pingat yang telah ditetapkan bagi temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, Jepun 2026.” ujarnya.
Dimaklumkan, Malaysia bakal bertandang ke negara matahari terbit itu dengan kekuatan anggota seramai 115 orang yang terdiri daripada 73 atlet dan 42 pegawai.
Pada temasya edisi ke-5 berkenaan, Malaysia akan menyertai 10 daripada 18 sukan yang dipertandingkan merangkumi boccia, para memanah, para olahraga, para badminton, para berbasikal, para powerlifting, para menembak, para renang, para ping pong dan tenis berkerusi roda.
“Saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama mendoakan dan memberi sokongan penuh kepada kontinjen Malaysia di temasya Sukan Para Asia Ke-5 2026 Aichi-Nagoya kali ini agar impian dan harapan terlaksana.” tambahnya.