Adel Taarabt Bersara Pada Usia 37 Tahun
Hafiz Omar

Pemain tengah lincah yang pernah mencuri tumpuan dalam kancah bola sepak England bersama Queens Park Rangers (QPR) sekitar awal 2010-an, Adel Taarabt mengumumkan persaraannya sebagai pemain bola sepak profesional.
Taarabt yang cukup diingati dengan kehebatan menggeleceknya mengumumkan persaraan menerusi hantaran di akaun media sosialnya sekaligus menamatkan karier bola sepaknya pada usia 37 tahun.
Pemain kelahiran Maghribi itu memulakan kariernya di Perancis bersama Lens sebelum menjejakkan kaki ke England dengan menyertai Tottenham Hotspur.
Bagaimanpun, peluangnya untuk beraksi bersama Spurs tidak begitu terbuka dan situasi itu membawanya ke QPR yang beraksi dalam kancah Liga Kejuaraan secara pinjaman pada musim 2009-10.
View this post on Instagram
Taarabt mendapat peluang yang dimahukannya bersama QPR dan kelab berjulukan The Hoops itu menandatanganinya secara tetap pada Ogos 2010.
Bakat Taarabt semakin mendapat perhatian ramai peminat bola sepak apabila QPR beraksi dalam kancah PL pada musim 2012-13. Akan tetapi, kehebatan Taarabt berseorangan sahaja tidak mampu mengelakkan QPR daripada tersingkir daripada kancah PL pada musim berkenaan.
Susulan penyingkiran tersebut, Taarabt berpindah ke Fulham secara pinjaman selama semusim untuk kekal dalam saingan PL. bagaimanapun, tempoh pinjamannya hanya bertahan selama enam bulan sehaja sebelum Taarabt berpindah pula ke Itali dengan menyertai AC Milan.
View this post on Instagram
Karier bola sepak Taarabt turut diserikan dengan pembabitannya bersama SL Benfica, Genoa CFC, Al Nasr (UAE) dan kelab terakhirnya, Sharjah FC (UAE).
Selama 20 tahun bermain bola sepak, Taarabt sempat menghiasi kariernya dengan bergelar juara Piala Liga (Tottenham Hotspur), juara Liga Kejuaraan (QPR), juara Liga Portugal (Benfica) serta menjulang trofi Piala Super Portugal (Benfica).
Manakala, di peringkat antarabangsa, Taarabt berhasil membuat 30 penampilan bersama skuad kebangsaan Maghribi termasuk beraksi dua perlawanan dalam Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
FEATURED IMAGE: QPR FC