Edou Mendy Bersara Selepas 8 Tahun Bersama Senegal

September 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy menoktahkan karier bola sepaknya di pentas antarabangsa selepas lapan tahun bersama skuad kebangsaan Senegal.

Perkembangan itu hadir selepas pemain berusia 34 tahun kelahiran Perancis itu mengumumkan persaraannya bersama skuad berjulukan Lions of Teranga menerusi akaun media sosialnya, pada Ahad.

Sebuah video berdurasi dua minit dan 43 saat yang merangkumkan penglibatannya bersama Senegal bersama-sama kapsyen “Terima kasih Senegal” dimuat naik di pelbagai akaun media sosialnya bagi mengumumkan persaraannya itu.

Pengumuman itu menyaksikan kelibatnya semasa menentang Norway pada peringkat Kumpulan I, Piala Dunia FIFA 2026, menjadi penampilan terakhirnya bersama Senegal.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Edouard Mendy (@edou_mendy)

Sepanjang bersama Senegal, Mendy meraih 59 penampilan termasuk aksi debutnya pada November 2018 bertembung Equatorial Guinea dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON). 

Mendy mencipta kenangan paling manis bersama Senegal apabila muncul juara AFCON pada tahun 2022 hasil menumbangkan Mesir menerusi penentuan sepakan penalti.

Menariknya, itu merupakan kejuaraan sulung dijulang Senegal sejak AFCON diperkenalkan pada tahun 1957.

Pengunduran Mendy menyaksikan dirinya akan menumpukan perhatian terhadap aksi bola sepak domestik bersama Al-Ahli dalam kancah Liga Pro Saudi (SPL).

FEATURED IMAGE: Fédération Sénégalaise de Football

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd