Lee Tuck Kembali Dalam Kancah Bola Sepak Malaysia

September 14, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Pemain kelahiran England yang mempunyai kerakyatan Malaysia, Lee Tuck kembali dalam kancah bola sepak tanah air dengan menyertai Kelantan City FC (dahulunya dikenali sebagai Kelantan WTS FC).

Penyertaan pemain tengah berusia 38 tahun berkenaan diumumkan sendiri oleh Presiden Kelantan City FC, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya, pada Isnin.

Annuar memaklumkan Tuck yang mempunyai sembilan penampilan bersama skuad kebangsaan didaftarkan pada hari terakhir jendela perpindahan pemain, 14hb September, bagi saingan Amateur Football League (AFL).  

Perkembangan ini juga menyaksikan Tuck kembali bermain bola sepak secara sepenuh masa selepas berpisah dengan Kedah Darul Aman FC sekitar tiga tahun yang lalu.

Tuck yang mencipta nama dalam saingan bola sepak Malaysia bersama Terengganu FC dilihat bakal memberikan pilihan tambahan kepada ketua jurulatih, Alfredo Gonzalez untuk mengharungi saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Pada saat ini, Kelantan City FC menghuni tangga keempat Liga A1 dengan pungutan lima mata hasil merekodkan satu kemenangan dan dua seri.

Dalam kenyataan yang sama, Annuar turut mengumumkan Kelantan City FC mendapatkan khidmat pemain sayap tempatan berusia 30 tahun iaitu Sean Selvaraj.  

Bagaimanapun, Sean akan didaftarkan pada jendela perpindahan seterusnya bagi memberikan ruang kepada bekas pemain Kelantan The Real Warriors itu menjalani pemulihan dan mendapatkan kecergasannya selepas menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL), awal tahun ini. 

FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd