FAM Lantik Jurulatih Jepun Bimbing Skuad Wanita B-17

September 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan wanita bawah 17 tahun (B-17) kini mendapat bimbingan jurulatih Jepun selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Takayoshi Ishihara.

Pengumuman pada Isnin itu turut menyatakan Ishihara atau lebih dikenali sebagai Taka hadir dengan pengalaman lebih dua dekad dalam bidang kejurulatihan, pembangunan pemain, pembentukan pasukan dan kepimpinan termasuk pengalaman membimbing kelab di Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.

Antara pencapaian terbesar dalam karier jurulatih berusia 49 tahun berkenaan adalah membimbing INAC Kobe Leonessa pada tahun 2013 menjuarai empat kejohanan utama dalam satu musim iaitu Nadeshiko League, Nadeshiko League Cup, International Women’s Club Championship dan Empress’s Cup.

Dalam pengumuman yang sama, FAM turut berkongsikan bahawa Ishihara akan dibantu oleh dua jurulatih berpengalaman dari Jepun iaitu Ito Mizuki dan Mayu Hinada selaku penolong ketua jurulatih dan jurulatih kecergasan masing-masing.

Sebagai tambahan, Ito akan turut bertindak sebagai jurulatih penjaga gol. Menariknya, Ito pernah menabur bakti dengan beberapa kelab ternama di rantau asia seperti Osaka City FC, Sydney FC dan Albirex Niigata Singapore.

“Pelantikan ketiga-tiga jurulatih ini juga mencerminkan komitmen FAM terhadap pembangunan dan pemerkasaan bola sepak wanita dengan memastikan barisan kejurulatihan mempunyai kepakaran serta pengalaman yang diperlukan bagi membangunkan pasukan secara lebih sistematik, profesional dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.” tulis FAM.

FEATURED IMAGE: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd