Bojan Sokong Ab Ghani Sebagai Presiden FAM

September 15, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jika saya diberi kuasa untuk memilih, saya akan memilih Dato’ Ab Ghani Hassan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Itu pandangan yang disuarakan oleh bekas ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak.

Kata-kata itu bersandarkan pengalamannya bersama Ab Ghani ketika bersama skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19). 

Menurut Hodak, sepanjang tempoh kerjasamanya dengan Ab Ghani yang ketika itu berperanan sebagai pengurus pasukan, beliau meletakkan pasukan sebagai kepentingan utama dan memberikan kepercayaan sepenuh untuknya mengendalikan pasukan.

“Dua tahun saya bekerjasama dengan Ab Ghani dan kali pertama kita jumpa, beliau dah beritahu sebagai pengurus pasukan, beliau tetap akan sokong saya sebagai jurulatih pada waktu itu.”

“Beliau juga tegaskan yang beliau tidak akan pernah ganggu atau masuk campur apa-apa, tetapi akan tolong sekiranya kami perlu bantuan, dan saya rasa sebab itulah kami akhirnya merangkul kejuaraan buat julung kalinya.”

“Ab Ghani bukan individu yang nak letak diri dia di hadapan, tapi setiap kali kita perlukan sesuatu, dia orang pertama yang akan ada dan bagi saya, itulah karakter sebenar untuk jadi seorang pemimpin,” jelas Bojan yang mengendalikan beberapa kelab dalam saingan Liga Super.

Skuad kebangsaan B-19 pada saat itu berjaya menoktahkan kemarau kejuaraan apabila menumpaskan Myanmar 4-3 untuk bergelar juara pada edisi tahun 2018. Kejayaan itu menjelma selepas Malaysia sekadar bergelar naib juara sebanyak lima kali pada edisi tahun 2003, 2005, 2006, 2007 dan 2017.

Bojan menganggap peranan Ab Ghani pada ketika itu bukan sekadar menguruskan keperluan pasukan malah berjaya memastikan barisan kejurulatihan dan pemain dapat membuat persiapan dalam keadaan terbaik tanpa sebarang isu dan gangguan.

“Dia sentiasa melindungi kami waktu itu, pastikan tiada yang mengganggu, pastikan kelengkapan latihan dan fasiliti untuk kami buat persediaan dengan baik,” kata jurulatih yang memimpin Kelantan FA, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City menggapai kejuaraan suatu masa dahulu.

Mengulas mengenai pencalonan Ab Ghani bagi jawatan Presiden FAM yang turut dicabar oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dato’ Sri Shahril Mokhtar, Hodak secara peribadi melihat Ab Ghani individu yang lebih layak. 

“Saya ada nampak Ab Ghani bertanding untuk posisi Presiden FAM, bersama-sama dengan Shahril juga dan saya pernah bekerjasama dengan kedua-dua individu ini.”

“Tapi secara peribadi saya rasa Ab Ghani layak untuk menjawat jawatan itu sebab selama saya pernah bekerja bersama beliau, saya melihat bagaimana cara beliau meletak segalanya untuk pasukan kami ketika AFF 2018 itu.”

“Berbanding dengan seorang lagi calon, dan pengalaman saya bersama Shahril, Ab Ghani lebih sesuai untuk galas tanggungjawab tanpa ada kepentingan peribadi dan kualiti sebagai seorang pemimpin memang sudah ada dalam diri beliau.”

“Mestilah untuk pencalonan seperti ini, masing-masing akan cuba untuk tambat hati dengan kata-kata dan janji, tapi untuk saya yang pernah bermain bola, menjadi jurulatih, saya hanya beritahu perkara yang betul, apa yang pernah saya nampak dan siapa yang lebih layak untuk bola sepak ini,” ujarnya.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd