Ab Ghani Presiden FAM Baki Penggal 2025-2029

September 17, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Dato’ Ab Ghani Hassan secara rasminya diumumkan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu bagi baki penggal 2025-2029 selepas memenangi pertandingan dua penjuru bagi jawatan itu dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung pada hari ini.

Ab Ghani merangkap Presiden Malaysian Football League (MFL) memenangi kerusi No.1 badan induk bola sepak tanah air selepas meraih 20 undi berbanding pencabarnya, Dato’ Sri Shahril Mokhtar yang sekadar mendapat 5 undi daripada perwakilan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM, Prof. Dato’ Dr. Abdullah Mohamad Said mengumumkan keputusan itu selepas selesai membuat pengiraan semasa Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 yang berlangsung di Hilton Petaling Jaya.

Pengumuman rasmi itu menyaksikan Ab Ghani menyandang kerusi presiden FAM kesembilan sejak tahun 1951.

Pada masa yang sama, 25 perwakilan yang layak mengundi pada hari ini turut memilih Datuk Seri Rosmadi Ismail (15 undi) dan Datuk Saaran a/l Nadarajah (18 undi) selaku Naib Presiden 1 dan Naib Presiden 3 masing-masing.

Sementara itu, tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wakil FA) pula diisi oleh Mohd Azizudin Mohd Shariff (19 undi), Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin (19 undi) dan Datuk Alijus @ Mohd Ali Sipil (12 undi). 

Datuk Kamarudin Hassan (15 undi) dan Datuk Syed Mahadi Syed Hassan (15 undi) pula mengisi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wakil FC). Bekas penyerang dan jurulatih skuad kebangsaan, Dato’ Zainal Abidin Hassan (22 undi) pula mengisi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wakil Profesional). 

Terakhir, Dato’ Suraya Yaakob (15 undi) pula memenangi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Wakil Wanita) sekaligus melengkapkan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029. 

Untuk makluman, para anggota yang terpilih pada kali ini adalah kelompok individu yang pertama mengisi komposisi Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baharu selepas Statut FAM dipinda dalam Kongres Luar Biasa FAM Pertama pada 4hb Jun lalu.

FEATURED IMAGE: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd