Tan Cheng Hoe Panggil Hidalgo, Bergson & Tapp
Hafiz Omar
Tiga pemain yang terdiri daripada dua pemain naturalisasi dan seorang pemain berketurunan Malaysia sah memperkukuhkan skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu siaran media mengesahkan ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe menyenaraikan tiga pemain iaitu Manuel Hidalgo, Bergson da Silva dan Brad Tapp bagi menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026.
Ketiga-tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) terbabit disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) layak mewakili Malaysia termasuk yang pemain naturalisasi terbaru Hidalgo – menerusi emel daripada FIFA pada Rabu.

Dalam siaran media itu, Cheng Hoe turut menyenaraikan empat pemain yang beraksi di luar negara iaitu Dion Cools (Cerezo Osaka), Daniel Ting (Ratchaburi FC), Sergio Aguero (PSM Makassar) dan Fergus Tierney (PAC Omonia 29M).
Untuk makluman, Cheng Hoe hanya mengekalkan lima pemain – Aguero, Ubaidullah Shamsul Fazili, G. Pavithran, Danish Asrul dan Azri Ghani – dari skuad 25 pemain Piala Hyundai ASEAN 2026 pada Julai dan Ogos lalu.
Antara pemain yang dipanggil kali ini ialah Syihan Hazmi, Haziq Nadzli, Corbin-Ong, Syahmi Safari, Hong Wan, Stuart Wilkin, Arif Aiman, Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim, Romel Morales dan Nazmi Faiz.
Kem latihan pusat skuad kebangsaan akan bermula pada 21hb September (Isnin) dan akan berlepas ke Jakarta pada 22hb September (Selasa).
Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala ASEAN FIFA peringkat Kumpulan A dengan menentang Bangladesh (25hb September), diikuti Indonesia (28hb September) dan terakhir Singapura (1hb Oktober).
FEATURED IMAGE: JOHOR Southern Tigers