KBS Lancar Sambutan Kiraan Detik 1 Tahun Menuju Sukan SEA 2027
Hafiz Omar

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) tampil melancarkan Sambutan Kiraan Detik Satu Tahun Menuju Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Tahun 2027.
Acara terbabit disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Mordi anak Bimol di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, pada hari ini.
Seiring dengan kiraan detik itu, Mordi menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan persiapan menuju temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN yang bertemakan Raikan Perpaduan.
“Kita mahu seluruh negara merasakan bahang menuju 2027. Bukan hanya apabila pertandingan bermula. Tetapi sejak dari sekarang.”

“Sebab itu majlis pada hari ini penting. Kita sedang membina momentum. Kita sedang membina kesedaran. Kita sedang membina keterujaan. Dan kita sedang mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah ini.”
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyemarakkan perjalanan menuju 2027, menyokong atlet negara dan bersedia menjadi tuan rumah terbaik kepada seluruh ASEAN,” katanya.
Selain kiraan detik setahun, Mordi turut berkongsikan pihaknya akan mengadakan larian obor yang bermula dari negeri utara semenanjung tanah air sehingga ke Sarawak bagi menyemarakkan lagi semangat Sukan SEA.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Mas Gading memaklumkan acara larian itu dijadualkan bermula pertengahan tahun hadapan.
Untuk makluman, temasya Sukan SEA 2027 akan berlangsung dari 18hb hingga 29hb September 2027 melibatkan empat kluster iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
FEATURED IMAGE: Kementerian Belia dan Sukan