Jersi Harimau Malaya 26/27 Dijual Pada Harga RM319 & RM549

September 21, 2026
Bola Sepak

Hafiz Omar

Jersi baharu skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya keluaran Puma yang dilancarkan pada Ahad akan dijual pada harga RM319 dan RM549.

Dua harga itu ditetapkan bagi jersi saiz dewasa untuk variasi “replica” dan “authentic” masing-masing sementara jersi saiz junior pula diletakkan tanda harga RM269.

Menurut Puma, jersi baharu yang terdiri daripada “home” dan “away” itu boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang puma.com serta fizikal di Kedai Puma, Al-Ikhsan dan Football Republic.

Bagi musim 2026-2027, FAM dan Puma tampil memperkenalkan jersi “home” dan “away” dengan tema “Inilah Warna Kita”. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Sukanz. (@sukanzcom)

Jersi “home” ditampilkan menerusi identiti ikonik Hitam Kuning yang sinonim dengan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia sejak sekian lama. Ianya turut menampilkan corak belang harimau yang berani, mencerminkan kekuatan, ketangkasan dan semangat tidak gentak.

Sementara itu, jersi “away” pula didatangkan dalam rona biru kelasi (blue navy) yang diinspirasikan daripada bahagian biru pada Jalur Gemilang. Ianya melambangkan kekuatan dan ketabahan, warna serta reka bentuk ini menggambarkan keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat Malaysia berbilang kaum.

Para peminat dijangka dapat menyaksikan para pemain Harimau Malaya menggayakan jersi “home” dan “away” baharu ini ketika turun mengharungi saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang berlangsung di Jakarta dan Bandung, Indonesia bermula 24hb September hingga 5hb Oktober kelak. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd