Perlumbaan F1 Dipendekkan Bermula Musim 2027
Hafiz Omar
Perlumbaan Formula 1 (F1) pada musim hadapan akan menyaksikan pengurangan dua hingga tiga pusingan bagi setiap perlumbaan.
Perkembangan ini hadir selepas Suruhanjaya F1 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) yang bermesyuarat di London bersetuju mengurangkan jarak perlumbaan secara keseluruhan daripada 305 kilometer (KM) kepada 290KM.
Menerusi satu kenyataan yang disiarkan oleh badan induk itu, keputusan itu diambil sejajar dengan penambahbaikan yang dirancang terhadap peraturan unit kuasa 2027 membabitkan aliran bahan api.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Jentera Satu Tempat Duduk FIA, Nikolas Tombazis serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) F1, Stefano Domenicali turut bersetuju menghapuskan had masa maksimum tiga jam ketika ini dari permulaan hingga penamat perlumbaan termasuk sebarang gangguan akibat hujan atau faktor lain.
Had dua jam bagi tempoh perlumbaan sebenar dikekalkan manakala had masa penamat wajib bagi aktiviti perlumbaan akan diperkenalkan untuk perlumbaan yang terganggu.
Pada masa yang sama, mesyuarat turut bersetuju supaya penganjur diberikan lebih banyak fleksibiliti untuk melanjutkan sesi latihan bebas sekiranya sesi berkenaan terganggu.
Jelas FIA, perubahan ini diperkenalkan bagi memberi penonton peluang terbaik untuk menikmati perlumbaan penuh apabila berlaku gangguan.
Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, FIA memaklumkan bersetuju untuk memansuhkan homologasi kotak gear bagi musim 2027 selepas rundingan dengan pengeluar dan cadangan daripada Jawatankuasa Penasihat Sukan sekaligus mengekalkan kebebasan pembangunan untuk pembekal.