Malaysia Jadi Destinasi Pilihan IAME Siri Asia

September 22, 2026
Permotoran

Hafiz Omar

Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelumba antarabangsa apabila IAME Siri Asia mencatatkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran perlumbaan itu di rantau ini.

Pengarah Eksekutif Kinex Private Limited dan IAME Siri Asia, Daniel Ling berkata, tarikan Malaysia bukan semata-mata disebabkan faktor kos, sebaliknya kemesraan rakyat serta suasana perlumbaan yang membuatkan pelumba luar negara mahu kembali.

“Daripada maklum balas yang saya terima daripada komuniti perlumbaan, mereka secara umumnya menyukai Malaysia kerana rakyatnya yang mesra, makanan, suasana dan litar perlumbaan yang baik,” katanya ketika ditemui di LYL International Karting Circuit, pada Ahad.

Lebih membanggakan, pusingan keenam IAME Siri Asia 2026 itu menyaksikan 122 pelumba berdaftar mengatasi 119 pelumba pada pusingan sebelumnya sekaligus mencipta rekod penyertaan tertinggi direkodkan satu jenama dalam siri kejohanan di rantau ini.

Menurut Daniel, kehadiran pelumba antarabangsa dari Australia dan beberapa negara lain membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri meskipun mereka perlu menanggung kos lebih tinggi untuk beraksi di negara ini.

“Mereka sebenarnya membayar lebih untuk datang berlumba di sini, tetapi mereka sanggup berbuat demikian kerana berasa dialu-alukan, gembira dan menjadi sebahagian daripada negara serta komuniti yang hebat ini,” katanya.

Malah, katanya, sebuah pasukan dari Australia menyatakan mereka berasa lebih dialu-alukan ketika memasuki kawasan paddock di Malaysia berbanding pengalaman mereka ketika berlumba di negara sendiri.

“Apabila kami memasuki paddock, kami berasa sangat dialu-alukan untuk berlumba di sini, berbeza ketika kami berlumba di negara sendiri,” katanya sambil menyifatkan layanan itu sebagai antara kekuatan utama Malaysia.

Bagi memastikan pelumba luar negara tidak berdepan kesukaran, pihak penganjur turut menyediakan bantuan menyeluruh merangkumi penginapan, hubungan dengan pasukan tempatan, urusan kastam serta logistik dari gudang ke litar.

Daniel berkata, sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Tourism Malaysia turut membantu perkembangan IAME Siri Asia dan membuka ruang lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab sukan permotoran.

“Tahun depan kami mahu mula mengembangkan lagi sukan permotoran di Malaysia menerusi penubuhan Kinex Motorsport di negara ini, dengan membawa semua operasi kembali ke Malaysia dan menjadikannya hab serta ibu pejabat operasi kami,” katanya.

Dalam masa sama, IAME Siri Asia turut memperkukuh laluan pembangunan pelumba menerusi Kinex Rising Stars Academy, IAME Straits Cup serta akademi menggunakan kereta formula bagi memberi peluang kepada pelumba muda membina kerjaya secara berperingkat.

Daniel berkata, beberapa nama yang pernah beraksi dalam IAME Siri Asia termasuk Bianca Bustamante, Yvan David, Christian Ho dan pelumba negara Putera Adam kemudian meneruskan perkembangan karier masing-masing dalam perlumbaan formula serta GT.

Malah, penganjuran siri berkenaan turut memberi limpahan ekonomi apabila Daniel menganggarkan sekitar RM15 juta dibawa masuk ke Malaysia menerusi inisiatif Visit Malaysia 2026, sepanjang penganjuran beberapa pusingan tahun ini, berdasarkan kira-kira 500 penyertaan dan kehadiran mekanik, keluarga serta penyokong pelumba.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd